Tuesday, January 12, 2010

Pergilah Air Mata 9

bab9

NAFISAH mengeluh lagi.
Serba tidak kena hatinya saat
ini. Berat kepala memikirkan
masalah yang ditinggalkan oleh Sabrina. "Tak sampai sebulan
lagi, Mal."
Ikmal mengangkat muka. Memandang wajah
ibunya yang masam mencuka. Ikmal mengeluh perlahan.
Faham apa yang sedang berperang di hati orang tua itu.
Tetapi, apa yang dia boleh buat? "Mal minta maaf, mak."
"Minta maaf aja tak cukup, Mal. Mak nak kita
teruskan juga pertunangan kamu tu. Malu mak nanti. Semua
saudara mak dah jemput untuk majlis tu."
"Tapi, saya nak bertunang dengan siapa mak? Nak
bertunang ni, bukan macam nak beli ikan kat pasar."
"Catering pun mak dah booking. Takkan nak cancel
macam tu aja?"
Ikmal mengeluh panjang. Wajah mendung ibunya
dipandang lagi.
"Dah tu, nak buat macam mana?" tanyanya.

"Sampai hati Ina buat kita macam ni…." Suara
ibunya tiba-tiba bertukar sendu.
Ikmal bergerak menghampiri ibunya yang
bersandar di sofa. Dia melabuhkan punggung di sebelah
ibunya. "Mak…."
Nafisah berpaling. Menatap wajah muram anaknya.
Perlahan-lahan jari-jemarinya mengusap wajah Ikmal. "Mak
tak rela Ina buat anak mak macam ni. Dia tak akan bahagia,
Mal."
"Mak… jangan cakap macam tu. Tak baik, mak."
"Mak tahu hati kamu hancur. Mak tahu kamu sedih.
Tapi, mak nak kamu juga tahu, kita tak boleh batalkan semua
ni. Nanti orang sekeliling cakap apa? Kalau orang tanya, apa
kita nak jawab?"
"Takkan kita nak cakap bakal tunang kau dah kena
tangkap basah? Mak tak nak aibkan orang macam tu. Walau
jahat macam mana pun Ina tu, mak tak sanggup nak aibkan
dia depan orang," sambung Nafisah sambil merenung wajah
Ikmal. Minta agar anak itu memahami situasinya yang
tersepit.
"Mak… saya ada jumpa Ina hari tu."
"Buat apa kamu jumpa dia?"
Ikmal memandang wajah ibunya. Menggenggam
erat tangan tua itu. "Kasihan Ina, mak."
Nafisah membuang pandang. Tidak sanggup dia
mendengar nama yang telah membuang senyum di bibir
anak tunggalnya itu. Marah betul dia pada Sabrina. Sanggup
Sabrina melakukan perbuatan terkutuk itu di belakang Ikmal.
Padahal, hari pertunangan mereka berdua sudah terlalu
hampir.

"Dia macam tak bahagia, mak."
"Macam mana nak bahagia, kalau sebab dia nak
kejar bahagia tu, dia kena lukakan perasaan orang lain?
Lukakan perasaan Mal. Lukakan perasaan mak. Dia
hancurkan semua kepercayaan mak pada dia."
"Entahlah mak…."
"Sudah! Mak tak nak cakap lagi pasal Ina. Hancur
hati mak ni!"
Ikmal termangu tatkala diherdik oleh Nafisah. Baru
dia bercadang ingin berkongsi kesedihan dengan ibunya itu.
"Sekarang ni, mak nak kita selesaikan masalah yang
Ina tinggalkan untuk kita."
"Kalau Mal, Mal batalkan aja majlis tu. Senang…
tak payah nak pening-pening kepala."
"Kamu orang muda, memang senang aja buat
keputusan!"
"Mal pun dah tak ada perasaan nak bertunang, mak.
Tak ada perasaan nak kahwin."
"Jangan nak mengada! Dah tu, kamu nak jadi apa?
Tak nak kahwin sampai ke tua semata-mata sebab kekasih
kamu yang curang tu? Tak berbaloi Ikmal, oiii!"
Ikmal diam. Sedikit tidak selesa menghadapi emosi
ibunya yang berubah-ubah itu. Sekejap ibunya bersikap persis
diktaktor. Sekejap berubah menjadi begitu sentimental.
Kemudian menjadi emosional. Sukar untuk ditebak. Sama
sepertinya, dia faham perasaan ibunya kala ini. Namun, satu
perkara yang dia cukup yakin, walaupun emosi wanita itu
berselirat, namun keputusan untuk meneruskan majlis
pertunangannya itu tetap utuh. Tidak mungkin ibunya itu
akan mengubah fikiran.

"Mak… siapa yang nak mak jadikan menantu mak?"
Akhirnya soalan itu meniti di bibir Ikmal.
"Mak tak kisah. Asalkan dia baik dan boleh jaga
anak mak dengan baik. Dapat beri kasih sayang yang tak
berbelah bahagi pada kamu. Itu dah cukup bagi buat mak."
"Tak semudah macam yang mak cakap."
"Maria?"
Ikmal angkat muka. Terkejut tatkala nama Maria
disebut. Wajah ibu dipandang tidak berkelip. Kenapa pula
Maria perlu masuk di dalam perbincangan mereka? "Kenapa
dengan Maria? Dia ada jumpa mak ke? Hari tu, dia ada cakap
dia nak jumpa mak."
"Ada. Semalam dia datang jumpa mak." Nafisah
buka cerita.
"Apa yang dia cakap pada mak?"
"Tak banyak yang dia cakap. Cuma dia cakap, kalau
dia boleh bantu kita, dia sanggup buat apa saja."
Ikmal bersandar di sofa.
"Dia cakap, Mal terlalu ikutkan perasaan sedih."
Ikmal diam. Maria… Maria… kenapa perlu
ceritakan semua itu pada ibunya. Pasti bertambah risau orang
tua itu.
"Mak setuju dengan cakap Maria."
"Apa yang dia cakap?"
"Kamu tak boleh terlalu layan perasaan. Yang rosak
nanti, diri kamu sendiri. Lupakanlah Ina tu. Anggaplah dia
bukan jodoh kamu."
Ikmal mengeluh perlahan. Pandangannya dilontar
jauh ke luar.

"Lupakanlah apa yang Ina buat pada kamu, Mal.
Buktikan pada Ina, tanpa dia kamu masih boleh hidup
bahagia."
Ikmal tersenyum pahit. "Itu pun Mar yang cakap
ke, mak?"
"Bukan. Itu mak yang cakap."
"Entahlah, mak… susah saya nak hidup tanpa Ina.
Ina dah jadi sebahagian daripada hidup saya. Terlalu banyak
perkara yang kami kongsi bersama. Sedih… senang…
susah… semuanya mak. Tinggi harapan saya untuk hidup
bahagia dengan Ina. Tapi tiba-tiba semua ni terjadi...."
Nafisah menghela nafas panjang. Sebak hatinya
mendengar suara sendu Ikmal merintih pilu. "Pasti ada
hikmahnya, Mal. Sekurang-kurangnya kita tahu semua ni
sebelum dia jadi sebahagian daripada keluarga kita."
"Tapi hati saya berkata, Ina tak bersalah, mak."
"Perasaan sayang dah kaburi hati kamu tu, Mal.
Sudahlah... tak payah lagi cakap pasal orang yang dah jadi
milik orang lain."
Ikmal diam. Dia tidak lagi mampu bersuara.
"Mak tengok, Maria tu pun baik juga budaknya. Dia
risaukan kamu. Pasti dia sayangkan kamu…."
"Memanglah mak. Diakan kawan saya," balas Ikmal
acuh tidak acuh.
"Dia tak nak tengok kamu terus bersedih."
"Kenapa ni, mak? Kenapa tiba-tiba cakap pasal
Maria ni?"
"Sebab mak rasa mak dah jumpa calonnya."
"Calon? Calon apa ni?"

Ikmal tergamam bersama soalannya. Segera dia
berpaling. Memandang wajah ibunya yang duduk di sofa
sambil merenungnya. Apa yang bermain di kepala ibunya
bagai sudah dapat dia teka. "Mak jangan cakap mak nak…"
"Ya, Mal. Mak nak pinang Maria untuk kamu."
Ikmal mengeluh panjang. Tidak percaya dengan apa
yang baru saja melintas di fikiran ibunya. "Saya tak setuju!"
"Kenapa pula?"
Ikmal menggosok tengkuk sambil mula mundarmandir
di hadapan ibunya. Mengarut! Itu sahaja yang
melantun kuat di hatinya. Dia tidak sanggup menyusahkan
Maria semata-mata kerana ibunya ingin menjaga maruah
keluarga. "Tak baik buat macam tu, mak."
"Apa pula yang tak baiknya?"
"Saya tak nak gunakan Maria, mak. Dia kawan saya.
Takkan saya nak heret dia dalam masalah saya ni. Saya tak
nak. Saya faham kalau dia kasihankan saya. Tapi, saya tak
akan ambil kesempatan pada Maria. Memang dia baik. Tapi,
mana boleh kita buat macam tu mak? Tak adil buat, Maria."
"Kita bukan paksa dia."
Ikmal mengeluh panjang. Susahnya bercakap
dengan ibunya yang keras hati ini. "Saya tetap tak setuju.
Saya tak akan bertunang dengan Maria!"
"Kenapa? Dia dah ada kekasih ke?"
"Mak… ni bukan soal ada kekasih atau tak! Saya tak
nak libatkan Maria. Kasihan dia nanti. Lagipun, saya memang
dah tak ada perasaan nak bertunang. Saya dah tak ada
perasaan nak kahwin. Saya cuma nak macam ni aja."
"Macam ni tu, macam mana? Terus termenung
sana, termenung sini? Terus teringatkan Sabrina yang dah
buat macam ni pada kamu? Sampai bila kamu nak macam ni?
Sudah! Jangan nak mengada-ada. Mak tak suka kamu cakap
macam tu."
"Mak tak faham…."
"Apa lagi yang mak tak faham? Mak rasa Maria tu
pun ambil berat tentang kamu."
"Yalah, mak… tapi, ambil berat sebagai kawan. Mak
janganlah fikir yang bukan-bukan pula."
"Dia dah ada kekasih ke?" Nafisah merisik lagi. Dia
memandang wajah Ikmal yang kelihatan tegang.
Ikmal menggeleng perlahan.
"Maksud kamu?"
"Setahu saya tak ada. Mak… tolonglah jangan fikir
sampai ke situ. Kalau mak tetap nak teruskan juga majlis tu,
mak carilah perempuan lain. Tapi, mak janganlah libatkan
Maria. Saya tak nak. Tak baik saya terus susahkan dia."
"Entah-entah dia pun sukakan kamu tak? Sebab tu
sampai sekarang masih tak ada kekasih."
Ikmal membuang pandang.
"Ikmal… mak bukan nak paksa Maria. Mak nak
tanya dulu. Kalau dia tak nak, tak apalah. Tapi, kalau Maria
setuju, apa salahnya kamu bertunang dengan dia? Kamu pun
bukan tak kenal dia. Mak pun dah kenal dia. Selama mana
mak kenal Sabrina, selama itu jugalah mak kenal Maria tu.
Malah lebih lama daripada mak kenal Sabrina lagi. Dia kawan
kamu sejak dari sekolah lagi. Dengarlah cakap mak ya, Mal."
"Mak, soal hati dan perasaan mana boleh kita paksa.
Mungkin juga Maria dah ada pilihannya sendiri. Cuma, saya
yang tak tahu."
Nafisah tersenyum kecil.

"Serahkan semuanya pada mak. Mak tahulah apa
nak buat."
Mendengar kata-kata ibunya itu, Ikmal kehilangan
kata-kata. Sudahnya dia merenung wajah ibunya. "Mak. Tak
payahlah buat macam tu, ya?"
Untuk kesekian kalinya, Ikmal cuba memujuk.
"Mak rasa Maria pun sukakan kamu."
"Mak…."
"Mak akan tanya Maria. Kalau dia setuju, mak akan
pinang dia untuk kamu."
"Mak, cubalah faham…."
"Hati mak ni, siapa nak faham? Pak long kamu dah
tahu. Mak su kamu dah tahu. Itu belum masuk lagi kawankawan
mak. Mak tak sanggup nak batalkan majlis tunang tu,
macam tu aja."
Ikmal menggaru kepala yang tidak gatal. Tiba-tiba
dia buntu dengan cadangan ibunya itu. Hendak dibantah,
tidak sampai hati pula membiarkan ibunya menanggung
malu. Hendak diikutkan, bimbang hati sendiri yang tidak
berkenan. Sudahnya dia menarik nafas dalam-dalam.
"Kitakan pihak lelaki. Tak adalah malu sangat kalau
tak jadi, mak. Lagipun, Ina tukan anak yatim piatu. Jadi,
rasanya masalah ni bukannya besar sangat. Lainlah kalau kita
ni di pihak perempuan atau dah berjanji dengan keluarga Ina.
Kita batalkan ajalah!" sarannya.
"Tak ada batalnya. Pak long kamu dah siap tempah
daging, nak buat kenduri kesyukuran sebab kamu bertunang.
Tahu tak?"
Ikmal mengeluh lemah. Dia hampir terlupa pada
hasrat pak longnya.

"Pak long kamu tu, bukan kamu tak tahu. Dia tak
ada anak. Kamulah anak dia. Memang dia suka sangat bila
kamu nak bertunang. Dah lama sangat dia tunggu kamu naik
pelamin. Minggu lepas dia telefon lagi. Dia cakap persiapan
untuk kenduri kat kampung dah siap. Orang kampung dah
dijemput. Elok selesai majlis tunang kamu, dia memang nak
kita semua balik kampung. Raikan kamu kat sana. Mak dah
tak boleh nak kata apa-apa lagi dah."
Ikmal terduduk di sofa. Kali ini dia benar-benar
buntu. Rupa-rupanya banyak agenda yang bakal tertunda
kalau majlis ini tidak dilangsungkan. Patutlah ibunya nekad
mahu teruskan majlis tersebut.
Tangannya laju memicit dahi. Salah dia juga kerana
merahsiakan kejadian tersebut daripada pengetahuan ibunya.
Kalau dia berterus terang dari awal, mungkin masih sempat
untuk dia batalkan semua rancangan yang sudah tersusun
rapi.
"Sekarang kamu tahu, kenapa mak nak teruskan
juga majlis tu? Pak long tu, ketua kampung. Malu dia kalau
tiba-tiba kenduri tu tak jadi. Bukan salah dia. Dia seronok
nak sambut bakal menantu."
"Buntulah saya macam ni, mak!" Ikmal bersuara
separuh membentak. Bukan marah pada ibunya, tetapi dia
sudah tidak mampu berfikir lagi.
Nafisah memandang wajah sugul itu dengan hati
yang sarat dengan rasa simpati.
"Mak buat ajalah apa yang patut…." Ikmal
merengus perlahan. Ada rasa sebal yang menghimpit
perasaannya. Kenapa tiba-tiba segala-galanya menjadi begitu
rumit? "Saya tak boleh nak fikir apa-apa lagi dah!"
"Kamu tergamak ke nak malukan pak long?"

Ikmal tunduk. Dadanya rasa tepu tiba-tiba. Ingin
rasanya dia menjerit sekuat hati. Bagi melampiaskan rasa
terbuku yang tersekat di hatinya.
Perlahan-lahan Ikmal angkat punggung. Dia perlu
keluar dari ruang ini. Dia perlu mencari udara segar untuk
melepaskan rasa terbuku yang menghimpit dada. Kepalanya
seakan-akan mahu pecah. Wajah Sabrina seolah-olah
mengepung fikirannya. Diganggu pula dengan desakan
ibunya. Cadangan yang tidak masuk dek akal. Semuanya
kerana ingin menjaga air muka bapa saudara yang terlalu
menyayanginya. Yang menganggapnya sebagai anak.
Ikmal laju melangkah ke meja kecil di hujung
tangga. Segugus kunci capai.
"Nak ke mana tu?"
"Keluar!"
"Ke mana? Mak belum habis cakap lagi ni."
"Saya tak boleh nak dengar apa-apa lagi mak. Saya
nak keluar kejap!"
Nafisah mengeluh perlahan. Dia risau melihat
wajah Ikmal yang kelihatan tertekan benar. Tidak sampai hati
pula untuk dia terus mendesak. Dia harus beri ruang untuk
Ikmal tenangkan perasaannya.
"Hati-hati bawa kereta tu!" Akhirnya Nafisah
bersuara.
Ikmal terus melangkah keluar. Bergerak laju ke
keretanya.

No comments:

Post a Comment