Tuesday, January 12, 2010

Pergilah Air Mata 4

bab4

DENGAN malas, Badrul
melonggarkan tali lehernya.
Penat. Matanya sekali lagi
memandang sekeliling. Bilik itu kosong. Sabrina tiada di
situ. Dia menghela nafas panjang. Bagus juga. Ada sedikit
ruang untuk dia bersendiri. Kadang-kadang rimas rasanya,
setiap kali pulang dari pejabat, disuakan dengan wajah
murung Sabrina. Perlahan dia melabuhkan punggung di
kerusi. Bersandar seketika. Cukup untuk melegakan rasa letih
yang bergayut di tubuhnya. Sejak beberapa hari ini, Sabrina
seolah-olah mengerti apa yang bermain di hatinya. Sabrina
melarikan diri sebaik dia tiba di rumah. Sabrina seakan-akan
tahu dia tidak pernah mahu melihatnya.
Sambil menggeliat, matanya tertancap pada sehelai
kertas yang terselit di bawah bekas pen. Pantas tangannya
mencapai cebisan kertas tersebut.
Saya nak minta izin keluar. Saya nak ambil
barang di rumah sewa saya.

Badrul diam seketika. Perlahan-lahan mindanya
mula memproses permintaan Sabrina. Rumah sewa? Di mana
rumah sewa gadis itu? Langsung dia tidak tahu. Selain
daripada Sabrina Shahzan, nama penuh isterinya itu,
memang Badrul tidak tahu apa-apa lagi tentang Sabrina.
Nama itu pun terpaksa dia hafal untuk dilafazkan di hadapan
kadi. Sesungguhnya dia tidak kenal langsung siapa Sabrina
Shahzan yang kini terpaksa berkongsi bilik dengannya.
Dia mengeluh panjang. Bangkit dari kerusi sambil
bergerak ke jendela. Dari jauh dia melihat Sabrina melayan
menungnya di halaman rumah. Termenung sambil
menongkat dagu. Kadang-kadang terdetik rasa aneh apabila
melihat Sabrina. Pelik. Misteri. Apa sebenarnya yang sedang
bermain di hati gadis itu? Apa sebenarnya agenda
tersembunyi yang membawa gadis itu ke caletnya lebih tiga
minggu yang lalu? Apa sebenarnya yang Sabrina inginkan
daripadanya? Siapa sebenarnya Sabrina?
Matanya lari pada coretan nota Sabrina yang masih
dipegangnya. Melihat kertas itu, tanpa sedar, senyum
menguntum di bibir. Tidak menyangka Sabrina mengikut
sahaja saranannya di dalam marah tempoh hari. Saranan itu
bukanlah satu saranan yang serius. Rasa marah yang
membuak mendesak dia berbicara tanpa berfikir. Dan,
Sabrina menurut sahaja apa yang dia ungkapkan. Semenjak
hari itu juga, Sabrina langsung tidak bercakap dengannya.
Sebaik bertentang mata, cepat-cepat gadis itu menghilangkan
diri. Dia harus berterima kasih untuk itu sebenarnya. Lapang
rasa dadanya tanpa gangguan daripada Sabrina. Tidak sangka
pula, Sabrina boleh bertukar menjadi seorang isteri yang
sangat memahami. Isteri? Dia tergelak sinis.
Sekali lagi pandangannya dihalakan ke arah
Sabrina. Sabrina tidak lagi bersendirian. Ibunya tercegat di
hadapan gadis itu. Berbicara sesuatu. Dia terus memandang
wajah Sabrina yang terkebil-kebil mendengar. Jelas wajah itu
bertukar mendung tiba-tiba. Pasti ibunya menghamburkan
kata-kata yang menyakitkan hati. Ibunya berlalu pergi, dan
dia melihat Sabrina menyeka pipi. Pasti gadis itu menangis
lagi. Dia menggeleng perlahan. Barangkali menangis
merupakan salah satu hobi gadis itu.
"Tak habis-habis dengan menangis…" rungutnya
tanpa sedar.
"Apa dia Encik Badrul?"
Badrul tersentak. Segera dia berpaling.
"Apa Kak Milah buat kat sini? Tiba-tiba terpacak kat
belakang saya!" katanya sedikit keras. Geram dengan
kehadiran Jamilah secara tiba-tiba itu.
"Errr… akak dah ketuk pintu. Encik Badrul tak
dengar. Pintu pula terbuka, jadi akak masuklah."
Badrul merengus perlahan. "Ada apa?"
"Hmmm… Datin tanya, Encik Badrul nak minum
petang kat bawah ke kat dalam bilik?"
"Bila masa pula saya suka makan kat dalam bilik?
Itu pun nak kena tanya saya ke? Dah berapa lama Kak Milah
kerja kat sini, sampai apa yang saya suka dan apa yang saya
tak suka pun, Kak Milah masih tak tahu?"
"Tak adalah... Datin yang suruh tanya. Manalah
tahu kalau-kalau Encik Badrul tak nak Puan Sabrina ganggu
encik."
"Kak Milah…"
"Bukan akak yang cakap, Datin yang cakap. Akak
cuma sampaikan aja." Cepat-cepat Jamilah menyampuk.
Memang itu bukan ayatnya. Datin Hamidah yang
mengeluarkan kata-kata itu. Dia cuma mengulangi kata-kata
majikannya sahaja. Tidak lebih daripada itu.
Badrul tersenyum lucu.
Melihat senyuman itu, Jamilah sedikit lega.
Lamanya dia tidak melihat senyuman di bibir lelaki itu.
Semenjak berkahwin dengan Sabrina, Badrul seperti sudah
lupa bagaimana untuk tersenyum. Kasihan dia melihat
majikannya itu.
"Saya nak mandi dulu. Nanti saya turun. Tak payah
bawa makanan ke sini. Kak Milah pun tahu saya tak suka,
kan?"
Jamilah mengangguk.
"Tak suka apa?"
Badrul memandang ke arah pintu.
Datin Hamidah tercegat di situ.
Jamilah cepat-cepat bergerak keluar dari ruangan
itu.
Badrul kambali berpaling ke arah jendela.
Menyambung pandang ke arah Sabrina.
"Tak suka apa?" Sekali lagi ibunya bertanya.
"Tak ada apa-apa, mama."
Datin Hamidah bergerak menghampiri Badrul.
Berdiri di sebelah Badrul, matanya sekali lagi disuakan
dengan wajah yang mengundang rasa sakit hatinya. Dia
mengeluh keras. Geram melihat Sabrina yang sedang
termenung. "Sejak bila kamu mula mengintai ni?"
"Mengintai? Mengintai apa mama?"
"Bukan ke kamu tengah curi pandang bini kamu
tu!"

Badrul tergelak. Melencong sungguh tekaan ibunya.
Tiada masa untuk dia mengintai Sabrina. "Tak ada maknanya
saya nak mengendap dia!"
"Dah tu, apa kamu buat kat sini?"
Badrul berpaling. Memandang wajah ibunya yang
memuncung. "Apa mama cakap dengan dia tadi? Lepas mama
pergi, saya tengok dia menangis."
"Hai… dah cair ke tengok air mata perempuan!"
"Tak adalah… saya tanya aja."
"Mama tanya apa yang dia nak daripada kamu. Tu
aja!"
Badrul tersenyum nipis. "Apa dia cakap?"
"Dia diam aje. Memang saja nak mencabar
kesabaran mama. Kurang ajar!"
"Biarkanlah dia, mama."
Datin Hamidah mendengus kasar. "Kertas apa tu?"
"Hah?"
"Kat tangan kamu tu. Kertas apa?"
Badrul melihat kertas di tangannya. "Oh… nota.
Sabrina yang bagi."
"Nota? Nota apa?"
Badrul tidak menjawab. Kertas itu disuakan pada
Datin Hamidah.
"Pergi ambil barang?"
"Haah."
"Hai… kenapa sampai nak kena tulis pulak. Dah tak
ada mulut nak bertanya? Nak bercakap? Budak ni memang
kurang ajarlah! Geramnya mama dapat menantu macam ni!"

Badrul tergelak kecil. Dalam resah, ada rasa lucu
melihat wajah ibunya yang merah menyala.
"Bukan salah dia, mama. Saya yang terlepas cakap
hari tu. Tak sangka pula dia boleh ikut aja cakap saya!"
Datin Hamidah mencebik. "Dah mula menangkan
dia, nampak? Takkan Bad dah suka kat perempuan tu kut?"
"Tak adalah mama… saya cakap benda betul."
"Hmmm… benda betul konon. Kamu tahu ke kat
mana rumah sewa dia? Nampaknya macam nak pindah terus
aja. Tak malu! Dah tahu semua orang kat rumah ni tak suka
dia, terhegeh-hegeh nak usung barang ke sini buat apa?
Mama lagi suka kalau dia cepat-cepat keluar dari rumah ni!"
Badrul diam. Dia juga lebih suka kalau Sabrina
memilih untuk keluar dari sini.
"Bad! Dengar tak mama tanya ni?"
"Apa?"
"Kamu tahu ke kat mana rumah sewa dia?"
Badrul menggeleng.
"Tak tahu? Dah tu kamu nak lepaskan dia pergi?"
"Yalah... takkan nak halang pulak!"
"Jangan nak mengada-ada. Mama tak setuju!"
Badrul kerutkan kening. Pelik mendengar kata-kata
ibunya. "Kenapa mama?"
"Betul ke dia nak pergi ambil barang? Entah-entah
pergi jumpa jantan, tak? Mana tahu kalau-kalau dia nak
jumpa kekasih dia. Kalau terjadi apa-apa, macam mana?
Kamu nak abah malu sekali lagi? Mau masuk ICU kami
berdua nanti."
Badrul terdiam. Berfikir sejenak.

"Takkanlah macam tu kut, mama. Insya-Allah tak
ada apa-apalah!"
"Yalah tu… dalam tak ada apa-apalah, tup-tup
kamu kena tangkap basah. Susah mama nak percaya
perempuan tu."
"Dah tu? Macam mana?"
"Tak payah nak pergi ambil apa-apa. Barang apa
yang dia ada? Apa, anak mama dah tak ada duit ke nak beli
barang untuk isteri? Beli aja yang baru. Habis cerita!"
"Sayang betul mama kat menantu ya? Sampai tak
bagi keluar rumah," sakat Badrul tiba-tiba, membuat wajah
Datin Hamidah kembali bertukar warna.
"Itu bukan menantu. Itu hantu! Sebab dia hantu,
kita kena rantai dia kat dalam rumah. Jangan bagi lepas
keluar," bebel Datin Hamidah marah.
Badrul tergelak halus. Datin Hamidah kalau
marah… "Tak baik mama cakap macam tu."
"Dah tu, apa kamu berdua buat tu… baik?"
"Mama ni… kan saya dah cakap, kami tak buat apaapa.
Saya tak kenal dialah, mama!" Badrul bersuara. Gelaknya
hilang tiba-tiba. Soalan paku buah keras itu, tiba-tiba
menghilangkan moodnya.
"Sebab tak kenal dialah, kita kena berhati-hati.
Entah-entah dia ada niat jahat kat keluarga kita. Tak pun nak
mengikis harta kita."
"Hmmm… jangan mimpilah. Mama ingat saya ni
bodoh ke, nak bagi dia semua tu?"
"Sekarang memanglah kamu tak bodoh. Tapi,
mama risau kalau-kalau suatu hari nanti, dia berjaya
perbodohkan kamu. Itu yang mama bimbangkan tu!"

"Don’t worry, mama…."
Datin Hamidah diam. Matanya sekali lagi ditebarkan
ke halaman. Sabrina sudah tiada di situ.
"Ingat tu. Jangan biarkan dia keluar sorang-sorang.
Kurung aja dia kat rumah ni. Mama tak nak nanti timbul
pula masalah baru."
"Tahulah saya nak buat macam mana. Mama jangan
risaulah."
"Yalah…."
Badrul tersenyum tawar sambil memerhati setiap
langkah yang diatur oleh Datin Hamidah. Perlahan-lahan
wanita separuh abad itu melangkah keluar dari biliknya. Dia
pula dengan perlahan-lahan menutup jendela biliknya yang
terbuka.
WAJAH Ikmal di skrin telefon bimbitnya ditatap lagi.
Rindunya pada lelaki itu bagai tidak dapat ditahan-tahan.
Betapa dia terlalu mengharapkan lelaki itu datang padanya.
Memujuknya seperti selalu. Mendendangkan cerita-cerita
lucu untuk dia buang jauh kesedihan hati. Tetapi, Ikmal tidak
muncul. Barangkali lelaki itu tidak akan muncul lagi. Segalagalanya
kini cuma tinggal kenangan. Kenapa perlu begini
berakhirnya cinta dia dan Ikmal?
"Awak siapa?" soalnya hairan. Sepatutnya ruang ini
kosong sebab Maria keluar berjumpa temannya. Pintu
memang sengaja tidak berkunci. Maria sudah jelaskan.
Memandangkan dia sudah hampir sampai, pintu tidak
dikunci, sementara kunci yang ada, Maria pegang. Alasannya
tidak mahu mengganggu seandainya dia terpaksa pulang

lewat. Itulah yang Maria ucapkan menerusi telefon. Dan
sekarang? Siapa lelaki ini?
"Apa awak buat kat dalam bilik ni?"
Sabrina terkedu. Segera dia berpaling muka. Segan
melihat lelaki di hadapannya yang hanya bertuala. Kepalanya
ligat berfikir. Dia yakin inilah nombor bilik yang Maria
berikan kepadanya. Hatinya digaru resah. Perlahan-lahan dia
menggaru kepala yang tidak gatal. Atau dia tersilap dengar?
"Helo! Saya bercakap dengan awak ni, awak buat
apa kat dalam bilik saya ni?"
Sabrina berpaling sekali lagi. Cepat-cepat dia
tunduk melihat lelaki itu masih tidak berbaju. Sekali lagi dia
mengangkat muka, tubuh lelaki itu sudah pun dibaluti
T-shirt.
"Bilik awak?"
"Yalah. Takkan bilik awak pulak? Cepat keluar!"
"Tapi…." Kata-kata Sabrina terhenti apabila pintu
bilik diketuk tiba-tiba. Dalam keliru, dia saling berpandangan
dengan lelaki yang masih tercegat di hadapannya. Dengan
langkah yang sedikit tergesa-gesa, lelaki itu melangkah ke
pintu.
Beg di tangan terlepas tiba-tiba. Hampir pitam
melihat empat orang lelaki berkopiah tercegat di muka pintu.
Terasa gelap dunianya. Tanpa perlu mendengar apa yang
dibicarakan oleh lelaki-lelaki itu, dia sudah tahu apa yang
berlaku. Ujian apakah ini? Saat itu, dia teringatkan Maria. Di
mana Maria? Maria tersilap beri nombor bilik atau dia yang
tersilap dengar? Ya Allah! Tidak sanggup dia lalui saat yang
memalukan ini!
Ketukan yang agak kuat di meja membuatkan dia
hampir terloncat dari kerusi. Peristiwa hitam yang
mengganggu fikiran hilang tiba-tiba. Dia mengangkat muka.
Badrul tercegat di hadapannya. Dia memandang kosong.
Hairan dengan kemunculan lelaki itu secara tiba-tiba. Ada
lagikah perbuatannya yang kurang senang di mata lelaki itu?
Dia cuba untuk tidak menyusahkannya. Bibirnya bergerak
ingin bertanya. Tetapi mengingatkan kata-kata Badrul
tempoh hari, dia lebih suka berdiam diri. Sudahnya dia
tunduk.
"Apa kau buat kat sini?"
Sabrina mengangkat muka. "Tak buat apa-apa.
Kenapa? Awak nak duduk kat sini ke? Kalau macam tu, saya
masuk. Saya minta maaf!"
Cepat-cepat Sabrina angkat punggung. Sangkanya
berada di sini, dia tidak akan mengganggu Badrul. Ruparupanya
dia silap. Kepalanya ligat mencari ceruk untuk dia
sorokkan wajahnya daripada penghuni banglo besar itu.
Susahnya apabila diri dibenci orang.
"Menangis lagi?"
Sabrina bungkam.
"Saya tak tahu awak ada dekat-dekat sini. Saya ingat
awak dalam bilik. Saya minta maaf!" Sekali Sabrina memohon
maaf. Sudah acap kali kali Badrul memarahinya. Sudah
berpuluh kali juga lelaki itu memberi amaran keras
kepadanya.
"Tolong jangan menangis depan aku. Aku tak suka
nak tengok!"
Mana mungkin dia dapat lupakan dua baris ayat itu.
Tetapi, kali ini bukan salahnya. Badrul yang muncul tiba-tiba.
Sudah hampir seminggu dia tenang menghabiskan waktunya
di sini. Lewat tengah malam barulah dia bergerak ke bilik. Itu

pun setelah yakin yang Badrul telah lena diulit mimpi. Dia
faham perasaan Badrul. Badrul tidak suka melihatnya.
"Saya masuk dulu!"
"Duduk!"
Langkah Sabrina terhenti. Dia berpaling sambil
menatap wajah Badrul dengan pandangan hairan. "Saya ke?"
Badrul bersandar pada kerusi sambil matanya
memandang sekeliling. "Kau ada nampak orang lain kat
sini?"
Sabrina diam. Perlahan-lahan dia melabuhkan
punggungnya di hadapan Badrul sambil tunduk menunggu
bicara.
"Mana kau tinggal?"
Sabrina mengangkat muka. Sedikit terpinga-pinga
mendengar soalan itu.
"Saya, maksud awak?"
"Rumah sewa kau kat mana?"
Perlahan-lahan Sabrina memahami maksud soalan
Badrul. Pasti Badrul sudah baca notanya. Hampir seminggu
nota itu terletak di atas meja. Baru sekarang rupa-rupanya
lelaki itu baca notanya. "Subang."
"So, kau orang sini?"
"Saya tinggal kat Subang. Menyewa dengan kawan.
Dah jadi macam ni, saya rasa elok saya ambil barang-barang
saya kat sana. Awak benarkan saya pergi?"
"Rumah kekasih kau ke?"
Sabrina kerutkan kening. Apa jenis soalan yang
lelaki ini ajukan? Sungguh dia tidak senang dengan soalan
itu.

"Kawanlah. Kenapa awak tanya macam tu?"
Badrul tidak menjawab. Cuma memandang wajah
Sabrina yang jelas tidak senang dengan pertanyaannya itu.
"Boleh saya pergi?" Sekali lagi Sabrina bertanya.
Bukan senang untuk cari saat-saat begini. Saat lelaki itu sudi
ringankan mulut menyapanya.
"Tak payah ambil. Beli aja yang baru."
"Tapi…"
"Full stop!" potong Badrul.
"Takkan saya nak tinggalkan semua barang saya kat
sana? Menyusahkan kawan saya nanti...."
"Kau ni memang jenis yang suka menyusahkan
orang pun. Beli aja yang baru. Beritahu kawan kau, kalau tak
boleh simpan, buang semua barang kau tu."
Sabrina terkebil-kebil. Melampaunya arahan. Ingat
sampah ke? Hatinya digaru sedikit rasa geram.
"Saya kena pergi juga," balasnya dalam takut.
Badrul menoleh. Merenung tajam wajah Sabrina.
Sabrina tertunduk. Kecut melihat renungan garang
itu.
"Kau minta kebenaran aku. Sekarang aku dah
cakap. Aku tak benarkan. Apa lagi yang tak kena ni?"
"Takkan kereta saya pun, nak kena buang jugak…."
Sabrina menjawab perlahan.
Tawa Badrul pecah. Langkahnya terbantut. Seketika
dia berpaling memandang wajah Sabrina. "Kau cakap nak
ambil barang. Tak ada pun cakap nak ambil kereta."
"Sekalilah tu."
"Bila kau nak pergi?"

"Hari minggu ni. Boleh tak?"
Badrul mengangguk perlahan.
Sabrina tersenyum. Bagai tidak percaya mendengar
jawapan lelaki itu.
Badrul bergerak perlahan-lahan mendekati Sabrina.
Merenung dalam-dalam wajah itu. "Muka kau hari ni nampak
lain…."
Sabrina kerutkan kening. Cepat-cepat jarijemarinya
menyentuh pipi. Apa yang lainnya?
"Patutlah. Kau senyum rupa-rupanya. Ingatkan dah
tak reti nak senyum!"
Sabrina terkedu. Badrul sedang bergurau? Tak
mungkin! Wajah lelaki itu kini kelihatan terlalu serius.
"Errr… terima kasih. Saya pergi kejap aja. Lepas
ambil semua barang, saya terus balik."
"Aku ikut!"
Ha? Bulat mata Sabrina menatap wajah Badrul.
Kenapa perlu lelaki itu menemaninya? "Tak payahlah! Saya
tak nak susahkan awak."
"Kenapa? Kau nak jumpa buah hati ke?" Sinis
soalan yang meniti di bibir Badrul.
Seperti biasa, hatinya akan tersentuh. Dia manusia
yang diciptakan dengan perasaan yang sensitif. "Saya cuma
tak nak menyusahkan awak. Tapi, kalau awak nak ikut, saya
tak kisah."
"Okey!" Balas Badrul sepatah, lalu melangkah
meninggalkannya.
Sabrina diam, menahan sebak. Cukup rendah
pandangan penghuni rumah itu padanya.

No comments:

Post a Comment