Tuesday, January 12, 2010

Pergilah Air Mata 3

bab3

"INA tak tahu apa-apa, bang.
Abang datanglah. Tolonglah
Ina… Ina tak salah…."
"Ina takut. Ina takut, bang. Tolonglah Ina. Ina tak
nak lalui semua ni!"
"Tak. Ina sayang abang. Ina tak pernah curang pada
abang. Abang datanglah tolong Ina. Ina takut bang. Ina
sorang-sorang kat sini."
Hiba di hati mendengar rintihan itu. Terlalu hiba.
Saat itu terbayang di matanya esakan Sabrina yang tidak
berhenti. Terbayang di matanya pipi Sabrina yang lencun
dengan air mata. Simpatinya membukit. Mana pernah dia
membiarkan walau setitis pun air mata gadis itu gugur. Dia
terlalu sayangkan gadis manja yang amat sensitif itu. Dia
sanggup lakukan apa saja untuk menghapuskan air mata
yang membasahi pipi Sabrina. Apa saja!
Dia selalu menjadi orang pertama yang akan hadir
di sisi Sabrina setiap kali hati gadis itu dilanda rawan.
Menjadi orang pertama yang datang memujuk. Tetapi, itu
dulu. Entah kenapa, kali ini hatinya menjadi sekeras batu.
Walau segunung simpati yang bertandang, hatinya berat
untuk memujuk. Walau selaut hiba yang datang, tiada kocak
sendu datang memujuk amarahnya.
Dia tersenyum sinis. Bagaimana mungkin dia bisa
memujuk Sabrina, padahal hatinya sendiri remuk
diperlakukan gadis itu. Sampai hati Sabrina. Teringatkan apa
yang berlaku pada Sabrina, cepat sahaja simpatinya bertukar
menjadi benci. Cepat juga simpatinya bertukar menjadi
marah.
Ketukan di pintu membuat dia tersentak. Cepatcepat
dia berpaling.
Maria muncul bersama senyum yang mekar di bibir.
"Sorry! Lambat sikit. Ada discussion dengan bos."
Ikmal tersenyum tawar. Perlahan dia menjongket
bahu, isyarat dia tidak kisah menunggu lama.
Maria melangkah longlai ke mejanya. Melabuhkan
punggung sambil memandang wajah Ikmal yang kelihatan
teramat sugul. "Lama kau tunggu aku?"
Ikmal memandang jam di pergelangan tangan.
"Lima belas minit."
"Sorry ya. Biasalah… kalau jadi bidan terjun ni.
Banyak benda yang nak kena review. Banyak benda yang nak
kena refer semula. So, nak lunch kat mana?"
Ikmal tersenyum hambar sambil menjongket bahu.
Bukannya dia berselera untuk menyentuh makanan pun saat
ini. Dia ke sini pun sebab rindukan Sabrina. Ingin melihat
ruang kerja yang menjadi tempat gadis kesayangannya itu.
Ingin merasai kehadiran Sabrina di situ.
Ikmal memandang wajah Maria. Dahulu, di kerusi
itu, dia akan nampak senyum manja Sabrina. Dia akan
nampak celoteh riang Sabrina. Kini, kerusi itu berganti tuan.
Maria yang menggantikan tempat gadis kesayangannya itu.
"Mal.…"
Ikmal tersentak lagi. Sekali lagi dia dibawa jauh dek
ingatannya pada Sabrina. Pada kekasih hati yang sudah
bergelar isteri orang. Pada kekasih hati yang tega meletakkan
nama lelaki lain di sebelah namanya. Menyediakan satu ruang
untuk lelaki lain di hatinya.
"Lupakanlah, Mal…."
Ikmal tersenyum pahit. Mudahnya bibir Maria
berkata-kata. Namun, hatinya tidak semudah itu untuk
memadam nama Sabrina. Fikirannya tidak semudah itu
untuk membuang kenangan bersama Sabrina. Walau sesakit
mana keperitan yang Sabrina hadiahkan kepadanya, di
hatinya masih terukir nama itu.
"Bukan aku tak cuba, Mar… tapi, susah sangat. Aku
sayang sangat pada dia. Tapi, dia… sanggup dia buat macam
ni kat aku!" ujarnya lirih.
"Aku faham perasaan kau, Mal. Tapi, kau tak boleh
berterusan begini. Sampai bila kau nak bersedih macam ni?"
Ikmal mengeluh panjang. "Kau tak faham, Mar.
Tujuh tahun aku dengan dia. Tujuh tahun. Macam mana aku
nak lupakan semua kenangan selama tujuh tahun tu?"
Maria mengeluh perlahan. "Kau jangan lupa Mal.
Kalau tujuh tahun dia jadi kekasih kau, bermakna tujuh
tahun juga dia jadi kawan aku. Kau ingat aku tak sedih bila
benda macam ni berlaku?"
Ikmal diam sambil otaknya mencerna kata-kata
Maria. Ya, kata-kata Maria itu ada benarnya. Mereka memang
kenal sejak masing-masing menjejakkan kaki di menara
gading.
Sambil bersandar, Ikmal memandang wajah Maria.
Wajah itu dikenalinya lebih lama daripada dia mengenali
Sabrina. Mereka bersahabat sejak dari bangku sekolah lagi.
"Macam manalah dia sekarang? Aku risau kalaukalau
dia tak dapat nak hadapi semua ni sendirian. Ina tu
lemah semangat orangnya. Lagipun dia tu jenis yang cepat
mengalah." Ikmal bersuara tiba-tiba.
Ikmal membetulkan duduknya. Mengenangkan
Sabrina, hatinya gundah. Mengingati Sabrina, jiwanya resah.
Sabrina tidak kuat melawan dugaan. Gadis itu terlalu mudah
berserah, lebih senang membiarkan diri larut dalam tangisan.
Pasti Sabrina hanya akan membiarkan air mata yang bertamu
di bibir mata. Dia terlalu kenal Sabrina. Tunjang yang
memberi gadis itu kekuatan, cuma dia dan Maria. Tanpa dia
dan Maria, bagaimana Sabrina akan menghadapi segalagalanya
sendirian? Dia di dunia ini pun, cuma sendirian.
Sabrina tidak mempunyai sesiapa untuk menjadi dahan
tempat dia berpaut.
"Nak risau apa?" balas Maria perlahan.
Ikmal membisu lagi. Betul juga, apa yang hendak
dia risaukan?
"Dia ada telefon kau?" Meniti satu soalan yang
terlalu kontra dengan apa yang dibicarakan oleh hatinya. Dia
tetap risau.
Maria menggeleng.
"Sebelum dia nikah, dia ada telefon kau?" soal
Ikmal lagi. Satu soalan yang amat menyakitkan untuk
diajukan.

"Sekali. Tapi, masa tu aku kat kampung. Tak boleh
nak cakap lama masa tu."
"Kau rasa betul ke cakap dia?"
"Maksud kau?"
"Ina cakap dia tak bersalah. Dia tak kenal lelaki tu."
Maria tunduk seketika sebelum perlahan
mengangkat muka.
"Mungkin dia benar…." Ikmal bersuara lagi.
Namun nadanya cukup perlahan.
Maria tersenyum kelat. "Benar atau tidak, dah tak
ada apa-apa makna, kan? Dia dah kahwin dengan lelaki tu.
Dia dah jadi milik orang, Mal. Dah jadi isteri orang. Kalau dia
tak cakap bohong, kenapa dia sanggup kahwin dengan lelaki
tu?"
Ikmal mengeluh hiba. Sayu setiap kali memikirkan
kenyataan itu. Punah segala angan indah untuk mencipta
hari persandingan yang paling istimewa bersama gadis
kesayangannya itu. "Mungkin aku patut jumpa dia hari tu."
Maria menatap wajah Ikmal. "Untuk apa?"
"Mungkin aku patut dengar penjelasan Ina. Kalau
dia tak salah, macam mana?"
"Ikmal, wake up! Okey… semua benda dah berlaku.
Tak guna kau nak menyesal atau rasa bersalah. Apa yang
berlaku bukan salah kau. Mungkin ada hikmah di sebalik
semua ni."
Ikmal diam. Tunduk seketika. "I miss her. I miss
her so much…."
Perlahan dia merintih dalam tunduknya. Seminggu
lalu, ego membuang segala simpatinya pada Sabrina. Namun,
hari ini dia kalah. Dia kalah pada perasaannya sendiri.

Ternyata bukan mudah untuk dia melupakan Sabrina.
Ternyata dia terlalu merindui seraut wajah Sabrina. Dia
rindukan segala-galanya tentang Sabrina.
"Ikmal…"
"Aku tak boleh hidup tanpa Ina, Mar. Aku sayang
sangat pada dia. Aku terlalu cintakan dia…."
"Aku yakin kau boleh, Mal. Ini semua bukan
pengakhir hidup kau. Kita sama-sama keliru dengan apa yang
berlaku. Aku sendiri macam tak percaya dengan apa yang
berlaku. Aku macam tak percaya Ina boleh buat benda macam
tu."
"Maksud kau? Memang dia bersalah? Memang Ina
kenal lelaki tu? Memang dia berdua-duaan dengan lelaki tu?"
Maria mengeluh perlahan. Perlahan juga dia
menjongket bahu. "Aku tak tahu. Tak tahu sama ada nak
percaya atau tak pada ceritanya. Cuma aku hairan, macam
mana dia cakap dia tak tahu apa-apa? Dia berada dalam bilik
lelaki tu. Lepas tu dia cakap dia tak tahu apa-apa. Macam tak
masuk akal. Apa yang dia buat dalam bilik lelaki tu
sebenarnya?"
Ikmal terdiam lagi. Soalan Maria bagai minyak yang
menyemarakkan api kemarahannya. Rasa simpatinya hilang
tiba-tiba. Dia membuang pandang. Sakit hati membayangkan
Sabrina bersama lelaki lain selain daripada dirinya.
"Apa pendapat kau?" soal Maria sambil menatap
wajah Ikmal.
Ikmal mengeluh lagi. Perlahan dia angkat
punggung dan mundar-mandir di hadapan Maria. "Aku
buntu. Buntu sangat-sangat. Kalau macam ni, aku boleh jadi
gila, Mar! Gila!!!"

"Sebab tu aku suruh kau jangan ikut perasaan."
"Sekejap aku kasihan pada dia, Mar. Aku tak sampai
hati dengar dia menangis. Aku tak sanggup biarkan dia sedih.
Sekejap aku rasa geram sangat. Benci sangat apabila aku
ingat perbuatan dia pada aku. Aku dah tak sanggup nak lalui
semua ni, Mar. Aku tak kuat. Aku nak lupakan dia, Mar. Tapi,
tak boleh…."
Maria terpaku seketika. Tergamam melihat air mata
yang mengalir di pipi Ikmal. Perlahan dia bergerak
menghampiri Ikmal. Menyentuh bahu lelaki itu perlahan.
Ikmal tunduk sambil menyeka air mata dengan
hujung jari telunjuknya.
"Be calm… duduk dulu."
Ikmal menggeleng perlahan.
"I can’t, Mar. Aku tak boleh lupakan dia. Tolong
aku, Mar…." Ikmal bersuara sebak.
Maria memandang resah. "Kau cakap Ina yang tak
kuat, yang lemah… tapi, kenapa sekarang kau pun dah jadi
selemah Ina?"
"Aku tak kuat tanpa dia, Mar."
"Sampai bila? Sampai bila kau nak macam ni?
Melayan perasaan kau yang tak menentu ni? Sekejap kau
benci dia, sekejap lagi kau kasihankan dia. Kau tak boleh
macam ni. Semua ni... akan menyakitkan kau, Mal. Aku tak
sampai hati tengok kau buat diri kau macam ni."
Ikmal bungkam di kerusi. Dia melurut rambutnya
perlahan-lahan. Kalaulah dia mampu membuang sejauhnya
rasa ngilu yang menusuk hatinya saat ini. Kalaulah dia boleh
membuang jauh-jauh kenangan Sabrina yang mengganggu
setiap hela nafasnya….

No comments:

Post a Comment