Tuesday, January 12, 2010

Pergilah Air Mata 2

bab2

BADRUL menolak pinggan.
Seleranya hilang entah ke
mana.
Datin Hamidah memandang nasi di pinggan
anaknya yang cuma sedikit sahaja berusik. Kemudian dia
memandang pula wajah anak tunggalnya yang masam
mencuka. Sejak pulang dari Cherating, wajah itu tidak
pernah manis. Wajah kelat itu membuat hatinya sedikit risau.
"Kenapa sikit sangat makan tu?" soalnya lembut.
Badrul tersenyum tawar. "Saya tak lapar, mama."
Datin Hamidah menggeleng perlahan. Bertambah
risau dengan keadaan Badrul. Terlalu banyak perubahan
anaknya itu. "Mama tengok kebelakangan ni, sikit sangat
kamu makan. Makanlah… nanti sakit."
"Tak ada selera." Pendek jawapan yang meluncur
keluar dari bibir Badrul.
Jawapan yang membuat Datin Hamidah mengeluh
panjang.

"Sabrina dah makan? Kenapa tak ajak dia sekali?"
Datuk Hamidi bersuara tiba-tiba, membuat muncung Badrul
semakin panjang dan suapan Datin Hamidah terhenti tibatiba.
"Abah, boleh tak jangan sebut nama budak tu depan
mama? Menyampah mama dengar. Nasib baik dia tak ada.
Kalau tak, dengan mama sekali hilang selera makan tau!"
"Tak baik cakap macam tu. Apa pun, dia sekarang
dah jadi menantu kita. Dah dekat seminggu dia kat sini, tak
pernah sekali pun nampak dia turun makan dengan kita.
Kamu pun Bad, sepatutnya cuba berbaik-baik. Jangan buat
Sabrina tu rasa terasing dalam rumah ni."
Badrul membuang pandang. Geram pula dia
mendengar kata-kata nasihat itu. Bagaimana mungkin dia
boleh berbaik dengan Sabrina. Melihat wajah itu pun,
bencinya membuak-buak. Geramnya tidak pernah bertepi.
Marahnya juga menjadi semakin marak.
"Pergi panggil dia turun makan!"
"Amboi… puteri raja ke perempuan tu? Sampai nak
makan kena berjemput segala?" Sedikit lantang suara Datin
Hamidah. Geram melihat layanan suaminya pada menantu
yang langsung tidak dikenalinya itu. Manusia asing yang tibatiba
muncul dengan status menantu. Sakit hatinya setiap kali
teringatkan insiden memalukan yang membawa seorang
perempuan bernama Sabrina ke dalam rumahnya ini.
"Apa dia buat kat atas tu, Bad?" Datuk Hamidi
bertanya lagi. Soalan sinis isterinya dibiarkan sepi.
"Apa lagi? Termenunglah! Lepas termenung,
menangis. Lepas menangis, termenung. Bosan Bad tengok.
Menyampah! Dah tak ada kerja lain agaknya!"
Datuk Hamidi menggeleng perlahan. Sama lancang
bicara isteri dan anaknya itu. "Cuba kamu selidik, kenapa dia
jadi macam tu?"
"Saya malaslah abah. Kalau ikutkan hati, memang
saya takkan kahwin dengan dia. Nak naik mahkamah pun
saya tak kisah. Nak kena bayar denda pun saya tak kisah.
Sebab saya tahu, saya memang tak bersalah langsung. Tapi,
abah beria-ia paksa kami kahwin. Abah yang nak sangat
perempuan yang tak tahu datang dari ceruk mana tu jadi
menantu abah!"
"Senang aja kamu cakap, ya? Kamu ingat abah suka
dengan semua ni? Abah tak suka langsung! Cuma, abah tak
nak perkara macam ni berpanjangan. Banyak yang tak elok
daripada yang elok. Elok-elok tak ada sesiapa yang tahu, nanti
satu Malaysia boleh tahu. Kalau dah terpampang kat surat
khabar, masa tu mana kamu nak sorok muka kamu tu? Kalau
kamu tak tahu malu, ni… muka abah dengan mama macam
mana? Nak letak kat mana muka kami ni? Ada kamu fikir
semua tu?"
Badrul tunduk. Diam. Tidak mahu membalas katakata
itu. Bimbang hanya akan membangkitkan amarah
bapanya. Tidak elok untuk kesihatan bapanya. Perlahan-lahan
Badrul angkat punggung.
"Nak ke mana tu?"
Badrul mengeluh perlahan, memandang wajah
Datuk Hamidi. "Ke depan."
"Pergi ajak Sabrina makan dulu. Lama-lama tak
makan, sakit pula budak tu nanti!" Tegas arahan yang keluar
dari bibir Datuk Hamidi.
Badrul mengeluh keras.
"Abah ni… biarkanlah budak tu. Nak manjakan
sangat buat apa? Nanti dipijaknya kepala kita. Kalau dia lapar,
pandailah dia cari sendiri. Tak payah nak pujuk-pujuk, nak
suruh-suruh!" Datin Hamidah menyampuk.
"Betul cakap mama tu."
"Abah kata pergi, pergilah!"
Badrul membuang pandang. Dengan muka
mencuka, dia bergerak meninggalkan ruang makan.
"Peliklah abah ni. Kenapa nak bela sangat
perempuan tu?"
Datuk Hamidi memadang wajah isterinya. Muncung
pun sudah sama panjang dengan muncung Badrul. "Suka
atau tak, dia sekarang dah jadi menantu kita, mama…."
"Mama memang tak akan suka dia, abah. Kita tak
kenal langsung siapa dia tu. Siapa keluarganya, asal usul
keturunannya, niatnya. Semuanya buat mama takut. Abah
tahu tak?"
"Nak takutkan apa?"
"Yalah… manalah tahu… entah-entah dia sengaja
perangkap anak kita tu. Orang zaman sekarang, macammacam
akalnya kalau nak hidup mewah. Nakkan harta orang.
Tapi, yang paling mama takut, keturunannya abah. Kita tak
tahu langsung! Takkan kita nak menantu daripada keturunan
yang tak baik? Minta dijauhkan!"
Datuk Hamidi mengeluh perlahan. "Cuba jangan
fikir yang buruk-buruk."
"Kalau dah kena tangkap basah, memang dah tak
ada yang baiknya. Orang baik-baik takkan masuk dalam bilik
lelaki yang bukan muhrimnya, senang-senang macam tu
saja."
"Abah tak nak tuduh Sabrina aja. Mungkin anak
kita pun salah juga. Apa pun, sekarang ni semuanya dah
berlaku. Dah tak boleh nak buat apa-apa. Sabrina pun dah
menikah dengan Badrul. Kita terimalah semua ni seadanya.
Abah tengok, Sabrina tu pun macam budak baik."
Datin Hamidah mencebik. Sudu dan garpu
diletakkan di atas pinggan. Selera makannya hilang sudah.
"Budak baik tak masuk bilik lelaki sesuka hati abah
oiii!" Datin Hamidah bersuara geram sambil angkat
punggung.
"Nak ke mana pula tu?"
"Tiba-tiba mama kenyang bila asyik bercakap pasal
menantu abah tu!"
"Midah… kita ni orang tua. Sepatutnya biarlah kita
yang bertindak mengikut akal. Kalau dah awak ikut
perasaan… Badrul pun ikut perasaan… apa akan jadi pada
dia nanti? Mama sepatutnya pujuk Badrul supaya terima
kenyataan. Terima tanggungjawab. Bukan api-apikan dia
macam ni!"
"Bila masa pula mama api-apikan Badrul?"
"Mama sokong semua perbuatan dia. Mama yakan
semua tindakan dia. Itu sebabnya dia jadi macam tu!"
"Mama buat macam tu, sebab mama pun tak boleh
terima perempuan tu jadi menantu mama. Mama tak suka
langsung!"
Datuk Hamidi mengeluh perlahan. Susah bercakap
dengan orang degil. Sudahnya, pinggannya turut ditolak ke
tepi. Emosi turut sama membantutkan seleranya. "Jamilah!"
"Ya, Datuk! Ada apa?"
Datuk Hamidi menoleh ke arah Jamilah yang sudah
tercegat di belakangnya. "Kemaskan!"
"Baik, Datuk."

Datuk Hamidi angkat punggung. "Dan, satu lagi…
tolong hantar makanan untuk Sabrina."
Jamilah mengangguk laju.
Datuk Hamidi bergerak meninggalkan meja makan.
"Errr… Datuk."
Datuk Hamidi menoleh.
"Nak hantar ke bilik Encik Badrul ke?" Teragakagak
soalan itu meniti di bibir Jamilah.
"Dah tu, nak hantar ke mana lagi?"
Jamilah menggaru kepala.
"Kenapa? Ada masalah ke?"
Jamilah tersenyum kelat.
"Jangan mengada-ada bawa masuk makanan ke
dalam bilik saya. Saya tak suka. Kalau dia nak makan, turun
ke bawah. Bukan kat sini!"
Amaran Badrul bagai melekat di telinganya. Ngeri
melihat wajah Badrul yang merah menyala menahan marah.
"Jamilah?"
Jamilah tersentak.
"Awak ada masalah ke dengan arahan saya tu?"
"Tak. Tak ada Datuk. Nanti saya hantar makanan
untuk Puan Sabrina."
Datuk Hamidi mengangguk perlahan sambil
berlalu.
AIR MATA yang hampir kering di pipi disapu lagi. Hiba di
hatinya bagai tidak mahu berlalu pergi. Bertalu-talu soalan
yang sama menghimpit dirinya. Mengapa mesti dia? Mengapa
semua ini mesti berlaku padanya? Hampir seminggu dia berada
di sini. Semuanya serba tidak kena padanya. Teringatkan
perkahwinannya, dia jadi sayu. Teringatkan Badrul, dia jadi
kecut. Teringatkan Ikmal dan Maria, dia jadi hiba. Rasa
pedih mendengar kata-kata Ikmal juga masih belum hilang
menghiris hatinya.
"Dah lama Ina sembunyikan semua ni daripada
abang, ya?"
"Ina tak tahu apa-apa, bang. Abang datanglah…
tolong Ina. Ina tak salah bang…."
"Untuk apa abang ke sana? Tengok Ina kahwin
dengan lelaki tu? Sampai hati Ina…."
"Ina takut. Ina takut, bang. Tolonglah Ina. Ina tak
nak lalui semua ni!"
"Sekarang baru Ina nak takut? Masa Ina duduk
dalam bilik dengan lelaki tu, Ina tak takut? Dah lama Ina buat
kerja macam ni, ya?"
"Abang… janganlah cakap macam tu. Sumpah! Ina
tak kenal dia. Ina tak tahu macam mana dia boleh ada kat
dalam bilik tu."
"Entahlah, Ina… hancur hati abang bila Ina buat
macam ni. Ina curang pada abang. Apa salah abang pada Ina?
Kurang lagi ke kasih sayang yang abang beri pada Ina?"
"Tak. Ina sayang abang. Ina tak pernah curang pada
abang. Abang datanglah tolong Ina. Ina takut bang. Ina
sorang-sorang kat sini."
"Kekasih Inakan ada. Anak Datuk, kan? Jauh lebih
baik daripada abang. Patutlah sanggup ikut sampai ke bilik."
Perlahan-lahan dia pejamkan mata. Pedihnya kata
kata Ikmal. Rayuannya langsung tidak berbekas di hati lelaki
itu. Sehingga dia diijabkabulkan, Ikmal langsung tidak
muncul. Ikmal tidak percaya padanya. Ikmal sama saja
dengan manusia di sekelilingnya sekarang. Maria juga tidak
muncul pada saat dia amat memerlukan seorang teman di
sisi. Dia betul-betul keseorangan. Bagaimana dia akan
menempuh segala ranjau ini sendirian? Kuatkah dia?
"Bila kau nak berhenti menangis, ya?"
Sabrina tersentak. Air mata yang kembali bertamu,
diseka segera.
"Maaf. Saya tak sengaja…." Gugup suaranya sambil
menunduk. Tidak berani angkat muka. Wajah berang Badrul
sering membuat hatinya kecut.
"Kenapa tak turun makan?"
Soalan Badrul yang dingin menyentuh gegendang
telinganya. Perlahan-lahan dia beranikan diri mengangkat
muka, menatap wajah Badrul yang tidak berperasaan. "Saya
tak lapar…."
"Lapar ke, tak lapar ke… kalau dah waktu makan,
turun makan. Aku penat dengar abah aku menceceh pasal
kau. So, lepas ni, please… jangan kusutkan lagi kepala otak
aku yang memang dah kusut ni. Aku tak ada masa nak dengar
abah bising pasal kau… pasal aku. Betul-betul tak ada masa!"
"Saya minta maaf. Saya tak berniat nak menyusahkan
awak."
"Tak payah minta maaf. Maaf kau tu tak boleh ubah
apa-apa pun!"
Sabrina bergerak meninggalkan jendela. Melangkah
perlahan mendekati Badrul. Memerhati Badrul yang sedang
bersiap.

"Awak…." Perlahan dia bersuara.
Badrul yang leka menyikat rambut, berpaling.
"Kenapa?"
"Saya… saya nak cakap sikit, boleh?"
"Aku ada hal. Nak keluar!"
"Tapi…."
"Aku ada hal. Lagipun aku tak boleh duduk dalam
bilik ni lama-lama. Panas!" Badrul bersuara sedikit keras.
Sabrina diam seketika. Namun dia perlu bersuara
juga. "Saya cuma nak…"
Badrul berpaling. Menatap tajam wajah Sabrina,
membuatkan Sabrina terus kelu. "Kau ni tak faham bahasa
ke? Aku cakap, aku tak ada masa. Lagipun aku memang tak
ada perasaan nak bercakap dengan kau. Tak ada perasaan.
Kau tahu tak?"
Sabrina tertunduk mendengar bicara itu. Sekali lagi
hatinya dihiris pedih. Hinanya dia di mata Badrul.
"Kalau benda yang kau nak cakap tu penting sangat,
tulis. Letak kat meja aku. Nanti aku baca."
Sabrina angkat muka. Sampai begitu sekali layanan
Badrul padanya? Bercakap dengannya pun Badrul tidak sudi.
Perlahan-lahan dia duduk di birai katil.
Tiba-tiba pintu bilik diketuk dari luar.
"Siapa?" Agak lantang Badrul bertanya.
"Saya, Encik Badrul."
"Masuk!"
Pintu terbuka.
Serentak Badrul dan Sabrina memandang ke arah
pintu.

"Saya minta maaf Encik Badrul. Saya tahu Encik
Badrul tak bagi, tapi, Datuk yang suruh." Cepat-cepat Jamilah
membuat penjelasan sebelum sempat Badrul membuka
mulut.
Badrul membuang pandang. Malas dia hendak
bercakap banyak. Pantas dia mencapai kunci kereta dan
bergerak meninggalkan Jamilah yang termangu-mangu
memegang dulang di muka pintu.
Sabrina juga terkebil-kebil memandang Badrul
yang berlalu begitu sahaja. Seketika kemudian dia
mengalihkan pandangan pada Jamilah. Serba salah berdepan
dengan Jamilah.
"Kenapa Kak Milah bawa makanan ke sini? Kan
Encik Badrul dah marah semalam." Sabrina bersuara risau.
"Kalau ikutkan saya, memang saya tak nak hantar
pun. Datuk yang suruh."
Sinis sungguh kata-kata yang meniti di bibir
Jamilah.
Sabrina diam. Dia tahu, Jamilah juga tidak pernah
senang dengan kewujudannya di sini.
Jamilah melangkah masuk. Perlahan-lahan
meletakkan dulang di atas meja kecil yang tersedia di sebelah
sofa.
"Kak Milah…."
Jamilah menoleh.
"Saya minta maaf. Saya dah menyusahkan Kak
Milah."
"Tahu tak apa!" Cukup selamba Jamilah membalas.
Sabrina terdiam lagi. Sungguh. Kelu lidahnya
untuk terus berdepan dengan kelancangan mulut penghuni
banglo ini. "Kak Milah marah saya ke? Sebab saya, Kak Milah
selalu kena marah."
"Dah nasib orang gaji, nak buat macam mana?
Terima ajalah!" Sekali lagi Jamilah bersuara dengan nada
yang cukup sinis.
Jamilah menyindirnya. Sabrina cukup tahu itu.
"Saya betul-betul minta maaf, Kak Milah."
"Hmmm…."
Sabrina memandang wajah Jamilah yang kelat.
"Makanlah. Saya tengok dah seminggu awak tak
makan. Nanti kalau sakit, susah."
Sabrina tersenyum kecil. "Nanti saya makan.
Terima kasih, Kak Milah."
"Hmmm… kalau dah sudah, panggil saya. Saya
kemaskan semua."
"Tak apalah. Nanti saya sendiri akan hantar ke
dapur." Sabrina bersuara.
Jamilah mengeluh pendek. "Suka hatilah!"
Sabrina tidak menjawab lagi. Cuma memandang
Jamilah melangkah keluar dari biliknya. Sebaik Jamilah
pergi, dia mengeluh panjang. Memerhati sekeliling bilik yang
besar itu. Terasing sendirian di dunia yang tidak pernah
menjadi impiannya. Perlahan-lahan dia angkat punggung dan
bergerak ke meja kerja Badrul. Dia duduk seketika di kerusi
sambil melihat meja yang tersusun kemas. Hampir seminggu
dia cuba bercakap dengan Badrul, namun lelaki itu langsung
tidak memberinya peluang. Sekarang, perlu berinteraksi
menggunakan pen dan kertas pula. Entah sampai bila dia
sanggup melalui semua ini.
Perlahan-lahan dia mencapai pen sambil mencari
kertas. Ingin menulis nota untuk suaminya seperti yang
dicadangkan.
Tatkala menulis, terlintas di kepala, bagaimana pula
Badrul akan membalas setiap notanya nanti. Akan berutus
suratkah mereka di dalam bilik itu?
Sekali lagi dia mengeluh lemah. Nota yang sudah
siap ditulis, diselitkan di bawah bekas pen. Dia kemudian
bergerak semula ke jendela. Menyambung menungannya.
Melayan perasaannya.

No comments:

Post a Comment