Tuesday, January 12, 2010

Pergilah Air Mata 13

bab13

SABRINA bangkit daripada
pembaringannya. Dia berjalan
mundar-mandir di dalam bilik.
Bosannya hanya Tuhan sahaja yang tahu.
Badrul pula, sejak malam tadi tidak balik ke bilik.
Tidak tahu ke mana. Pulang sahaja dari makan malam, lelaki
itu terus berlalu tanpa sepatah kata. Meninggalkan dia
sendirian di dalam bilik yang cukup besar itu. Membuat
tidurnya malam tadi pun menjadi tidak begitu lena. Sering
terganggu dek rasa takut. Tidur sendirian di tempat yang
masih asing padanya, memang bukanlah satu situasi yang dia
gemar. Sudahnya, entah berapa jam sahaja matanya terpejam
lena. Selebihnya, dia terkebil-kebil di dalam comforter yang
membalut seluruh tubuhnya. Menutup kaki dan kepalanya.
Kalaulah malam ini Badrul tidak pulang juga, pasti dia
terpaksa bersengkang mata sekali lagi.
Dia memandang jam di dinding. Hampir pukul
enam petang. Ke manalah Badrul pergi? Kalau diikutkan
hatinya, mahu sahaja dia keluar dari bilik itu. Mencari sedikit
ketenangan di luar sana. Menghirup udara segar. Namun,
larangan Badrul terpaksa dia patuhi. Dia tidak mempunyai
pilihan. Walau apa pun, dia tidak boleh ingkar pada perintah
suami.
Satu keluhan keluar dari bibirnya. Tidak tahu apa
aktiviti yang hendak dibuat. Sudahnya dia menjenguk
selonggok CD yang tidak dia sentuh sejak Badrul berikan
padanya tempoh hari. Semuanya cerita seram. Sengaja mahu
kenakan dia. Perlahan-lahan dia mencapai longgokan CD itu
lalu dibawa ke riba. Berkerut keningnya melihat imej-imej
yang langsung tidak nampak cantik di matanya itu. Satu per
satu dicampak ke meja semula. Sehinggalah dia terpandang
satu CD yang menggamit memori. Sekuntum senyum terukir
tiba-tiba.
"Abang! Kita nak tengok cerita apa ni?"
Ikmal tersenyum nakal.
Sedang Maria yang duduk di sebelah Ikmal di dalam
panggung yang sudah mulai gelap itu, tersenyum lucu.
Sabrina merenung tajam wajah dua insan di
hadapannya itu. Senyuman itu bagaikan sedang
menyembunyikan sesuatu. "Cerita apa ni, bang?"
"Jangan Pandang Belakanggg…" jawab Maria
dengan nada yang menyeramkan membuat Sabrina terjerit
kecil.
Ikmal tergelak.
Maria tersengih.
"Abang…."
Ikmal merenungnya bersama sebaris senyum.
"What?" soalnya lembut.
"Tak naklah. Nak keluar. Tak baik tipu Ina tau."
"Mana ada abang tipu? Abang cuma ajak tengok
wayang aje. Tak cakap pun nak tengok cerita apa."
"Jahatlah abang buat Ina macam ni. Ina nak
keluar!" bebel Sabrina sambil angkat punggung.
Pantas Ikmal mencapai tangan Sabrina. "Duduklah
sayang. Abang memang nak tengok sangat cerita ni.
Temankan abang, ya?"
"Ina tak suka tengok cerita macam nilah. Bukan
abang tak tahu…."
"Memang abang tahu. Sebab tu abang tak nak cakap
kita tengok cerita apa," balas Ikmal masih dengan senyum
nakalnya.
Sabrina membuang pandang.
"Temankan abang, ya? Kalau rasa takut sangat tu,
peluk aje abang. Abang tak kisah," tambah lelaki itu separuh
bergurau.
Sabrina tersenyum kelat. Manisnya kenangan itu.
Tiba-tiba dia menjadi terlalu rindu pada Ikmal. Bagaimanalah
keadaan lelaki itu sekarang? Tiba-tiba juga dia teringatkan
tarikh pertunangannya dan Ikmal yang bakal tiba tidak lama
lagi. Nampaknya majlis itu terpaksa dibatalkan. Timbul rasa
bersalah di hatinya. Bersalah pada ibu Ikmal yang terlalu
sayang padanya. Bersalah pada Ikmal yang terlalu
mencintainya. Tanpa sedar, tangannya pantas mengeluarkan
CD tersebut dari bekasnya dan memasukkan ke dalam CD
player. Dalam sekelip mata filem Jangan Pandang Belakang
sudah pun muncul di kaca televisyen. Filem itu membuat dia
teringatkan Ikmal. Dan dia ingin terus mengingati Ikmal.
Dalam keasyikan melayan kenangan, dia tersentak
tatkala mendengar jeritan yang menyeramkan di kaca
televisyen. Pantas dia mencapai alat kawalan jauh. Menekan
ikon ‘mute’. Filem berlangsung tanpa bunyi. Dia bergerak ke
arah katil. Mengambil comforter dan bergerak semula ke
sofa. Sabrina duduk di sofa sambil menarik comforter
menutupi tubuhnya. Dia menonton filem bisu itu sambil
menutup muka. Hanya sesekali dia melihat. Selebihnya dia
diam sambil menghitung detik CD itu habis diputar.
"Hoi! Apa ni?"
Sabrina terperanjat. Dia menjerit kuat. Hampir
menitis air matanya. Cepat-cepat dia menyelak comforter.
Badrul kelihatan terkejut. "Apa ni? Berbungkus
macam ni?"
Sabrina menelan liur. Perlahan-lahan dia mengurut
dada.
Melihat wajah terkejut Sabrina, Badrul tersenyum
kecil.
"Tengok cerita hantu, ye? Tak takut ke? Kenapa
bisukan volumenya?" soal Badrul sambil melabuhkan
punggung ke sofa. Alat kawalan jauh di tangan Sabrina,
dicapai. Ikon ‘mute’ dimatikan.
Perlahan-lahan Sabrina angkat punggung.
"Nak ke mana tu?"
"Saya tak nak tengoklah!"
"Kan kau yang pasang cerita ni. Duduklah!" Badrul
bersuara sambil menarik tangan Sabrina. Memaksa Sabrina
duduk di sebelahnya.
Sabrina akur dalam terpaksa. Terkebil-kebil dia
tatkala melihat Badrul menarik comforter di ribanya.
"Mana ada orang tengok TV sambil tutup muka,"
perlekeh Badrul sambil tersengih.
Sabrina diam. Dia tunduk memandang tangannya.
Siapa yang nak tengok TV? Dia cuma ingin mengimbau
kenangan indahnya bersama Ikmal. Itu aja….
"Tengoklah!"
"Awak ke mana malam tadi?" soal Sabrina. Dia
berusaha mengabaikan segala bunyi yang singgah di
telinganya.
"Itu bukan urusan kau."
"Saja tanya."
"Diamlah. Aku nak tengok cerita ni."
"Saya keluar kejap, boleh?" pinta Sabrina sambil
memandang wajah Badrul. Sekurang-kurangnya dia tidak
perlu lagi menghadap cerita seram itu.
"Tak boleh!"
Sabrina mengeluh hampa.
"Best juga cerita ni ya?" Badrul bersuara sambil
matanya terus melekat di kaca televisyen. "Kau agak, kat sini
ada tak benda-benda macam ni?"
Sabrina ternganga. Janganlah buat andaian macam
tu.
"Mungkin ada kut. Yang rambut panjang ni,
memang banyak kat sini," kata Badrul sambil jari telunjuknya
dituding ke kaca televisyen.
Sabrina turut memandang. Namun cuma seketika.
Cepat-cepat dia pejamkan mata dan palingkan muka. Dia
ngeri melihat wajah hantu yang hodoh itu. Menyesal dia
mainkan filem itu. Sekali lagi Sabrina angkat punggung.
Malas untuk menonton filem yang seram itu. Namun sekali
lagi tangannya ditarik oleh Badrul. Lelaki ini memang
sengaja mahu menyakatnya.
"Saya tak nak tengoklah! Janganlah paksa saya."
"Kenapa pula?"
"Nanti saya tak boleh tidur."
"Apa kena-mengena cerita hantu dengan kau tak
boleh tidur?" soal Badrul buat-buat bodoh.
Sabrina membuang pandang.
"Tengok TV tu."
Sabrina menggeleng.
Lebar senyuman yang terukir di bibir Badrul.
Penakut sungguh perempuan ni! Dia ketawa geli hati. Namun
tawanya tiba-tiba mati apabila Sabrina bangun dan duduk
menghadapnya. Kena sampuk ke? Biar betul perempuan ni.
Hatinya mula berteka-teki.
"Kenapa kau ni?"
Sabrina menggeleng. Wajah Badrul dipandang
tanpa berkelip.
"Janganlah pandang aku. Aku nak tengok TV.
Pandang TV tu!"
"Tak naklah. Kalau awak tak nak bagi saya tengok
muka awak, bagilah saya pergi kat tempat lain. Tolonglah
jangan paksa saya tengok cerita ni!"
"Tak apa. Aku bagi kau tengok muka aku. Tengoklah
puas-puas. Aku tahu, kau memang dah lama pun nak tilik
muka aku, kan? Aku bagi kau peluang sekarang ni. Sebab aku
faham, orang kacak macam aku ni, memang ramai yang nak
pandang. Lebih-lebih lagi perempuan macam kau!"
Sabrina mencebik dalam diam. Perasannya suami
aku ni!
"Betul, kan?"
"Entah!"
"Entah? Kalau entah, kenapa pandang aku?"
"Sebab muka awak tu lawa sikit daripada muka
hantu tu," jawab Sabrina selamba.
"Apa?" soal Badrul dengan nada tinggi.
"Sorry!" Cepat-cepat Sabrina bersuara.
Badrul memandang wajah itu buat seketika.
Bimbang gelora rasanya yang bertandang semalam, datang
lagi. Dia cuba sedaya upaya memberi tumpuan pada cerita
yang ditayangkan. Namun, ekor matanya tidak berhenti
daripada melirik Sabrina. Wajah gadis itu bagaikan melekat
di pipinya.
Badrul sedikit gelisah. Dia ingin beredar dari situ.
Namun entah kenapa, kakinya terasa berat untuk melangkah.
Tidak seperti malam tadi, dengan cepat dia boleh menghayun
langkah meninggalkan Sabrina sendirian di dalam bilik. Dia
menyewa bilik lain. Dia ingin memenuhi permintaan Sabrina
agar benarkan dia pergi dari sofa itu. Namun, dia tidak mahu
mengalah. Dia ingin terus melihat wajah Sabrina yang
ketakutan. Dia mengerling dengan ekor matanya. Sabrina
masih termenung sambil menatap pipinya.
"Hah!" jeritnya tiba-tiba.
Sabrina menjerit sekuat hati. Sepantas kilat
melompat ke atas ribaan Badrul. Memaut tengkuk dan
memeluk tubuh Badrul. Memang dia terkejut. Terkejut yang
teramat sangat.
Sabrina sudah meraung di bahunya. Dapat dia
rasakan degupan jantung Sabrina yang laju di dadanya.
Memang Sabrina sangat ketakutan saat ini.
"Okey… okey… sorry. Aku tak sengaja. Sorry,
okey?" Badrul bersuara sambil memegang bahu Sabrina.
Cuba menolak tubuh Sabrina yang masih menggigil itu lebih
jauh darinya.
"Janganlah macam ni. Aku minta maaf. Lepas ni,
aku tak usik kau lagi," pujuk Badrul.
Tubuh Sabrina sedikit mengendur. Baru dia tersedar
yang dia kini berada di atas ribaan Badrul. Air mata ketakutan
yang membasahi pipi, segera dikesat.
"Sorry…." Sabrina bersuara perlahan sambil
bergerak ke sofa. Dia tidak berani memandang wajah Badrul.
Dia tahu saat ini, mata Badrul tidak berkelip merenungnya.
Barangkali lelaki itu marah. Tetapi, dia betul-betul tidak
sengaja. "Saya tak nak tengok lagi. Please…."
"Okey! Aku tutup." Pantas Badrul mematikan
televisyen.
Sabrina bersandar ke sofa sambil terus menyapu air
matanya.
"Kenapa kau ni penakut sangat?"
Sabrina menjeling seketika. Bodoh punya soalan!
Debar di dadanya masih bersisa. Kepalanya seakan-akan
berpusing dek kerana terkejut disergah begitu. Nasib baik dia
tidak pengsan. "Awak paksa saya tengok tu, kenapa?"
"Kau yang pasang, kan?"
"Saya pasang, tapi tak ada suara. Lagipun, bukannya
saya tengok."
Badrul tersenyum kecil. Melihat wajah itu seketika
sambil cuba melenyapkan debar yang bergelora di jiwanya.
Dia menarik nafas panjang. Melarikan pandangan ke arah
lain. "Aku dah sewa bilik lain!"
Tiba-tiba Badrul bersuara.
"Hah?"
Badrul memandang wajah terkejut Sabrina.
"Kenapa terkejut pulak?"
"Kenapa sewa bilik lain?" soal Sabrina hairan. Debar
yang baru sahaja ingin menjauh, sekali lagi bertenggek di
ranting hati.
"Suka hati akulah!" balas Badrul sambil angkat
punggung. Ingin menjarakkan kedudukan antara dia dan
Sabrina.
"Mana boleh macam tu?" Sabrina bersuara tidak
puas hati. Dia tidak mahu tidur sendirian malam ini.
Sudahnya dia mengekori langkah Badrul.
"Kenapa tak boleh?" soal Badrul sambil bersandar
pada balkoni.
Sabrina diam. Betul kata Badrul, apa hak dia untuk
menghalang lelaki itu?
"Malam ni?" soal Sabrina sambil memandang wajah
Badrul minta simpati.
Badrul membuang pandang. Pandangan itu tidak
mampu dia lawan saat ini. "Aku cuma nak balik mandi dan
tukar baju. Lepas ni aku nak keluar."
Laju dia bersuara tanpa memandang wajah Sabrina.
Sabrina mengeluh lemah. "Mana boleh macam tu.
Awak dah cakap macam-macam benda mengarut tadi, lepas
tu awak nak biarkan saya tidur sorang-sorang? Mana boleh?"
Bulat mata Sabrina memandang Badrul.
Badrul diam tidak bersuara. Semakin dia cuba
menghindari, semakin gadis ini datang menghampiri.
"Kenapa tak boleh?"
"Sebab saya takutlah…" rintihnya perlahan.
Rintihan yang membuatkan Badrul semakin tidak
tenteram. Tidak! Dia tidak boleh mengikut perasaan. "Kau
takut hantu ke… kau takut aku?"
"Ha?"
Badrul merenung wajah yang terpinga-pinga itu.
"Kenapa pula saya nak takut kat awak?"
Mendengar soalan itu, Badrul melangkah rapat pada
Sabrina.
"Sebab… aku rasa macam nak belai rambut kau,"
bisiknya sambil membelai rambut Sabrina. Membuat gadis
itu sedikit tersentak.
"Aku rasa macam nak sentuh bibir kau."
Sabrina resah.
"Aku rasa macam nak belai tubuh kau."
Sabrina gelabah.
"Aku rasa macam… macam nak bersama kau."
Sabrina resah dan gelabah.
"Boleh? Kalau boleh, I’ll stay…."
Gulp! Kalau tak boleh, maknanya dia kena tidur
sendirian? Sabrina menelan liur. Perlahan-lahan dia bergerak
ke belakang. Berat permintaan Badrul.
Badrul tersenyum kecil.
"Boleh?" Sekali lagi dia bertanya.
"Errr…."
Badrul tersenyum sambil bergerak mencapai tuala.
"Lepas mandi, aku pergi. Make sure kunci pintu."
"Hah?"
"Ya. Aku pergi. Aku tak boleh tinggal dengan kau
kat sini."
Sabrina diam. Rasa seperti mahu menangis. Pilihan
yang Badrul berikan memang berat.
Melihat wajah itu, Badrul mengeluh perlahan.
"Tak ada apa yang nak ditakutkanlah," pujuknya
lembut.
Sabrina kelu.
"Apa-apa berlaku, aku kat sebelah aja. Ketuk aja
pintu bilik aku."
Sabrina terus melongo. Terkebil-kebil memikirkan
dia harus tinggal sendirian lagi malam ini.

No comments:

Post a Comment